Dr. Firdaus Abdullah dilantik sebagai Senator
KUALA LUMPUR 21 Jan. - Bekas Pengerusi Eksekutif Utusan Karya Sdn. Bhd. yang juga tokoh akademik, Datuk Dr. Firdaus Abdullah, 65, mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara untuk penggal pertama hari ini.
Felo Penyelidik Kanan (Pelawat) di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM) itu mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Pawanteh dalam satu majlis ringkas di pejabatnya di Dewan Negara pukul 10 pagi ini.
Hadir sama isteri Firdaus, Datin Anim Hassan serta anaknya, Falahi Sarisatriya dan Dininasihah Sariyati.
Firdaus yang juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika ditemui pemberita berkata, beliau terharu dan bersyukur diberi kepercayaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memikul tugas sebagai Senator.
Katanya, keanggotaan di Dewan Negara akan dimanfaatkan untuk mengambil bahagian secara membina bagi meningkatkan mutu perdebatan.
"Saya tidak dijelaskan mengenai kriteria pelantikan saya, barangkali berasaskan penglibatan dalam bidang akademik, budaya dan penulisan.
"Semoga peranan saya menyuburkan sistem demokrasi berparlimen di negara ini," katanya yang akan membuat penampilan pertama pada Sidang Dewan Negara pertengahan bulan depan.
Mengenai isu yang akan diperjuangkan, Firdaus berkata, ia berkaitan harapan melihat pemurniaan dan pengamalan kebudayaan kebangsaan diberi keutamaan oleh kerajaan.
Katanya, kedudukan penulis dan budayawan juga perlu diberi perhatian sewajarnya dalam struktur masyarakat.
"Saya berharap obsesi kita kepada sains dan teknologi dapat diimbangi dengan pertimbangan kemanusiaan dan kebudayaan dalam membentuk serta melaksanakan polisi.
"Saya tidak nafikan kepentingan sains dan teknologi namun ia perlu seimbang dengan unsur kemanusiaan, bak kata pepatah 'rasa dibawa naik, akal dibawa turun', katanya.
Firdaus yang merupakan bekas wartawan Berita Harian memulakan kerjaya akademiknya di UM pada 1972 sebagai penolong pensyarah dan dinaikkan pangkat sebagai pensyarah, profesor madya, profesor, dekan dan seterusnya Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar).
Bermula 3 Mei 2005 hingga 2 Mei 2008, anak kelahiran Kuang, Selangor itu dilantik sebagai Ketua Pengarah DBP.

1 comment:
Lepas ni kena lantik bekas tokoh agama spt Mufti dsb menjadi senator. OKU dah ada wakilnya..
Post a Comment